TAUBAT SEORANG SULTAN - KEBENARAN SEBALIK PERISTIWA
-Dari buku Lima Raja
Terakhir
(Cetakan 1990)
SUMBER : AL-ATTAS UNIVERSITY OF LIFE
Sultan Perak Dalam Kenangan
Dalam banyak-banyak cerita itu, tersebutlah sebuah kisah bagaimana
kononnya seorang Sultan telah mangkat ketika sedang minum-minum. Disebabkan
adanya orang politik yang memusuhi Sultan tersebut,maka cerita yang tak betul
itupun disiarkan dalam akhbar-akhbar tempatan. Cerita sebenarnya, mengenai
Sultan ke Mekah dan bertaubat tidak pula disebutkan.
Namun biar bagaimanapun, seorang wartawan senior, yang kebetulan
telah diamanahkan oleh Almarhum menulis cerita baginda telah menulis tentang
apa yang sebenarnya berlaku mengikut ceritanya.
Cerita mengenai Sultan tersebut ditulis oleh Akhdiat Miharja
itu saya petik seperti berikut.
Kekuasaan dan kemewahan hidup menjadikan manusia lupakan Allah dan
melakukan segala kemungkaran, tetapi ketika diburu maut, penyesalan dan taubat
menggantikan titik terakhir bagi kehidupan.
Demikian juga yang berlaku ke atas Almarhum Sultan Perak, Raja
Idris Shah Ibni Sultan Alang Iskandar – beliau mengakui melakukan
berbagai-bagai maksiat dan kemudiannya bertaubat dalam masjid Haram.
“Saya banyak dosa, tak lalu nak bilang, macam gunung, macam Sungai
Perak,” titah baginda kepada saya.
“Allahu Akbar, saya tau dosa dan pahala, halal dan haram, tapi
kerana saya Sultan yang berkuasa, mewah hidup dan lupakan Allah, saya buat
semuanya,” titah Sultan lagi.
“Saya syukur, saya sempat bertaubat dalam Masjid Haram…saya
menangis, saya menyesal…saya harap Allah terima taubat saya sebelum saya mati,”
tambahnya.
Demikian suatu madah rendah diri dari seorang Sultan kepada saya
di Istana Tambun, Ipoh kira-kira jam 3.00 pagi dalam tahun 1983.Baginda baru
kembali dari melakukan ibadah umrah di Makkah.
Saya dijemput ke Istana Tambun oleh baginda sehari selepas baginda
pulang dari Makkah dan pertemuan saya dengan baginda pada pagi itu benar-benar
terasa sedih dan pilu dalam diri saya.
Ketika saya tiba di ambang pintu Istana Tambun kira-kira jam 11.00
malam, seorang pegawai istana memberitahu saya, yang Sultan sedang menunggu
saya dalam bilik di tingkat atas.
“Ada siapa bersama baginda?” saya bertanya.
“Tak ada, baginda sedang baca Quran,” jawab pegawai itu.
Sebaik baik saja saya mendengar kata-kata pegawai yang lurus
seperti pegawai istana Harun Amirul Rasyid itu, timbul sesuatu yang luar biasa
dalam hati saya.
“Kalau Sultan dah baca Al-Quran, ini dah ganjil,” hati saya
berkata lalu saya memanjat tangga istana.
Sebagai penulis, saya diberikan kebebasan oleh Sultan Perak untuk
masuk ke dalam mana-mana istananya di Kuala Kangsar dan di Ipoh hingga Istana
Perak di Kuala Lumpur.
Sebaik-baik saja saya melangkah masuk ke dalam bilik dan belum
sempat saya memberi salam, Sultan Perak dengan nada bergurau bertitah, “Orang
dah kaya, aku yang dah nak mati ni pun tak ingat.”
“…Tuanku belum nak mati, umur Tuanku panjang,” saya berkata sambil menghulurkan
dua puntung tangan kepada baginda lalu baginda menyambut.
“You kata aku panjang umur, Allah kata you tak tau,” titah Sultan
dengan wajah tenang.
Saya diam dan duduk atas kerusi di hadapan baginda.
“Nah, minum air zam-zam ni, aku ajak pergi ke Makkah tak nak,
bukan kena keluar duit, aku yang nak belanja,” titah Sultan sambil mengunjuk
gelas kosong kepada saya.
Waktu itu saya diam dan
hanya mecapai jag berisi air zam-zam lalu menuang ke dalam gelas dan saya
minum.
“Tuanku sihat di Makkah?”
“Sihat tu sihatlah, tapi hati…Allah yang tahu,” titahnya.
“Ngapa, ingatkan yang baru ni (isteri)?” saya bergurau.
“Tak, aku tak ingat siapa, yang aku ingat mati…, aku akan mati tak
lama lagi…,”jawab baginda.
Saya sedar Sultan Perak ada menuntut ayat Al-Quran dari
Allahyarham Syeikh Abdullah Fahim di Kepala Batas dan sekiranya ayat Al—Quran
yang dihafal itu tidak dapat dibaca atau lupa, maka bererti maut hampir tiba
kepada yang menghafal ayat tersebut.
“You buat tak tau, kan guru kita dulu ajar ayat Quran tu, di
Makkah aku lupa ayat tu,” titah Sultan.
“Tak tuntut ayat tu, Tuanku, patik tuntut ayat lain,” saya berkata
serius.
“Aku lupa ayat tu sebaik-baik masuk ke Makkah…, aku menangis
kerana aku banyak buat maksiat, doa…,” Titah Sultan sambil mengunjukkan sebuah
Al-Quran kepada saya.
“Allah tau, aku ni Sultan, berkuasa, mewah hidup, rakyat jelata
sanjung aku sebagai ketua agama Islam di negeri ini, tapi aku…,” titah Sultan
dan kelihatan baginda mengesat air matanya dengan belakang tangan kirinya.
“…tapi aku menyesal, aku bertaubat dalam masjid Haram, aku
menangis kerana insaf akan diri aku yang telah banyak buat dosa,” titah Sultan.
“Tuanku usah sedih, Allah tetap menerima taubat Tuanku, sekadarkan
Tuanku jangan ulangi lagi, jangan tau buat, bukan taubat…” kata saya sambil
senyum.
“Tak, aku tak buat lagi, aku tak minum arak lagi…aku hanya minum
air teh China macam you…” titah baginda.
Dalam pertemuan kami dari jam 11.00 malam hingga jam 4.00 pagi itu
tidak diganggu oleh sesiapa kerana baginda telah memberitahu pegawai istana
supaya melarang orang masuk ke biliknya.
Di tingkat bawah ramai orang besar-besar dan pegawai kerajaan
sedang minum-minum dan menari kata mereka bersyukur keranaSultan telah kembali
ke tanahair.
Baginda bertitah dengan saya dari isi hatinya sendiri dan waktu
itu saya digunakan oleh Sultan sebagai ulama atau pakar rujuk agama.
Saya menyebut begitu kerana Sultan membaca ayat-ayat Al-Quran yang
diterjemahkan dalam bahasa Inggeris dan baginda bertanya kepada saya akan
sesuatu dalam ayat-ayat itu.
“Kalau Allah tak terima taubat aku macam mana?”Sultan bertanya.
Mendengar soalan itu saya hampir ketawa dan kemudian bergurau
dengan berkata, “…Tuanku akan dibakar dalam api neraka yang hangatnya entah
berapa juta kali ganda dari hangat api yang ada ini.”
“Allahu Akbar…!” Sultan bertitah dalam keluhan.
“I waktu itu melihat dari jauh,” saya bergurau lagi.
“You lainlah, you tak minum arak, tak tinggal sembahyang, tak
tinggal puasa, tapi aku…?” Tanya Sultan.
“Kan Tuanku dah bertaubat dan Allah sedia menerima taubat Tuanku,”
kata saya untuk menghilangkan keraguan baginda.
“Tu aku tau, tapi…,” titah Sultan sambil merenung muka surat
Al-Quran.
Sesuai dengan pengakuannya, saya dapati baginda tidak minum arak
lagi, hanya minum teh China dan saya merenung di atas meja kecil di sudut bilik
itu ada sehelai sejadah.
Baginda bertitah, bahawa kalaulah baginda seorang rakyat biasa,
mahulah baginda tinggal tinggal bermastautin di Makkah dan sentiasa melakukan
ibadat di dalam Masjidil Haram.
Saya tidak mahu menjawab apabila baginda bertanya, apakah Allah
akan menyoalnya di akhirat nanti akan tanggungjawabnya sebagai seorang Sultan
Pemerintah dan sebagai Ketua Agama Islam di negeri Perak iaitu sejauh mana
tanggungjawab itu baginda telah tunaikan.
Baginda tahu saya tidak mahu menjawab soalan itu dan baginda
mengalih titahnya kepada hal Menteri Besar Perak, politik masa ini dan hasrat
Baginda supaya negeri Perak mengamalkan syariat Islam sepenuhnya.
Lalu saya berfikir pada pagi itu, bahawa Sultan Perak di hadapan
saya adalah insan yang terpengaruh dengan segala kebendaan dan alim ulama dan
orang Besar yang mengelilinginya tidak pernah menasihati baginda kepada jalan
yang soleh.
“Tuanku ada mufti, kadi, dan alim ulama yang boleh membimbing
Tuanku ke jalan yang soleh…” kata saya.
“Demo tu makan gaji…. Mana nak fikirkan semua ni…” titah baginda.
Saya hampir ketawa waktu itu kerana sebai-baik saja saya mendengar
titah baginda saya teringat akan cerita filem Allahyarham P. Ramlee mengenai
Negeri Perak, iaitu filem Musang Berjanggut.
Ulama dalam kisah Musang Berjanggut tidak menasihat Sultan
kepada jalan yang soleh, sebaliknya dia melakukan kemungkaran.
Sayang apa yang kami cakapkan dan apa yang diluahkan oleh Sultan
Perak kepada saya dari malam hingga ke pagi itu tidak seorang pun dari rakyat
Negeri Perak mengetahuinya.
Waktu saya akan pulang meninggalkan Istana Tambun pada pagi itu,
Sultan bertitah “Kalau aku mati, kalau you nak tulis biografi aku, jangan lupa
tulis yang kita cakap tu.”
Beberapa hari kemudian baginda meninggal dunia sebelum meneguk air
teh China dalam majlis jamuan yang diadakan oleh saudagar ikan di Sitiawan.
Baginda telah menitahkan saudagar ikan itu supaya menyediakan air
teh China untuk baginda dalam majlis jamuan tersebut.
Oleh sebab anika jenis minuman keras turut dihidangkan dalam
majlis itu, maka air teh China dalam gelas di hadapan baginda kelihatan seperti
minuman keras juga.
Baginda meninggal dunia sebelum sempat minum air tersebut.saya
mendapat tahu sepanjang perjalanan dari Taiping ke Sitiawan baginda telah
bertengkar dengan isteri yang ke dua.
Sultan Perak mengidap sakit
jantung disebabkan masa itu Negeri Perak diliputi oleh suasana krisis politik,
iaitu antara baginda dengan Menteri Besar, Datuk Seri Haji Wan Mohamed bin Haji
Wan Teh, maka fitnah terhadap baginda disebarkan ke merata-rata yang kononnya
baginda mangkat kerana banyak minum minuman keras.
Marilah kita semua menghadiahkan ‘Al-Fatihah’ ke atas roh baginda
dan mendoakan semoga Allah mengampunkan dosa-dosanya dan kita mohon kepada
Allah agar meletakkan rohnya bersama orang-orang yang soleh.Amin Ya Rabbul
Alamin.
-Dari buku Lima Raja
Terakhir
(Cetakan 1990)
SUMBER : AL-ATTAS UNIVERSITY OF LIFE
p/s
Berkata benarlah walaupun pahit.Berterus terang adalah lebih baik dari
berdiam diri.Kini baru diketahui hal yg sebenar.Alhamdulillah....
ALFATIHAH...
No comments:
Post a Comment