Assalammualaikum

Semoga anda sentiasa sihat dan ceria hari ini

Wednesday, 20 August 2014

KHASIAT SAYUR

Khasiat Sayur


KHASIAT sayur-sayuran memang diakui dapat membantu mengekalkan kesihatan tubuh badan. Namun, masih ramai yang membenci sumber penting ini untuk diamalkan dalam diet seharian.


Alasannya, pahit, pelik dan tidak enak lantas mereka lebih rela mengasingkannya daripada hidangan sebelum hilang selera. Apapun, mereka harus menerima hakikat bahawa tubuh badan sememangnya memerlukan sayur untuk hidup sihat.



Jenis Sayuran dan Khasiatnya

Sayuran boleh dikelaskan ke dalam kumpulan atau keluarga biologi yang dibahagikan kepada enam iaitu menjalar, akar, cruciferous, berdaun hijau, batang dan bebawang.

Sayuran menjalar seperti timun, labu dan zucchini enak dinikmati apabila ia masih muda dan biasanya dimakan begitu saja atau dimasak. Ia mempunyai rasa manis dan pedas apabila dimakan.


zucchini

Misalnya, zucchini...ianya merupakan sumber serat yang baik bagi membantu mengurangkan sembelit dan memberi perlindungan daripada kanser kolon.

Zucchini mengandungi folat yang penting dalam pembahagian sel dan sintesis asid deoksiribonukleik (DNA). Selain itu, ia membantu mencegah kecacatan pada tiub saraf janin jika diambil sebelum mengandung.


Labu

Labu pula ialah sumber vitamin C dan A selain mengandungi flavanoid yang membantu melancarkan peredaran darah ke seluruh tubuh serta mencegah terjadinya penyumbatan pembuluh darah. 

Ia berfungsi sebagai antioksidan dan membantu mengurangkan rasa sakit jika terjadi pendarahan atau bengkak pada tubuh badan. Biasanya, labu direbus dan ada juga yang gemar menjadikannya pencuci mulut.


Keledek

Sayuran daripada keluarga akar seperti kentang, keladi dan keledek berbeza daripada kepekatan dan keseimbangan antara gula, kanji dan karbohidrat lain.

Jenis sayuran berkanji ini biasanya menjadi makanan ruji sebagai sumber karbohidrat di sesetengah negara seperti Afrika Barat atau kawasan tropika yang biasanya direbus dan dilenyek untuk membuat hidangan dinamakan fufu atau poi.



Kategori sayuran daripada keluarga cruciferous pula seperti kubis, brokoliserta kubis bunga berpotensi menghalang pembentukan hormon kelenjar tiroid di kalangan mereka yang kekurangan iodin menerusi kandungan goitrogen.

Jika dimasak lebih 30 minit tanpa henti, ia boleh mengurangkan jumlah sebatian goitrogen yang terkandung di dalam sumber berkenaan secara semula jadi.

Misalnya, sebanyak satu pertiga kandungan goitrogen akan dinyahaktifkan apabila brokoli direbus justeru, bagi memastikan sumber khasiatnya kekal di dalam sajian yang dimakan, ia perlu dimasak secara stim.

Sayuran hijau seperti kubis daun, bayam dan salad mengandungi zeaxantin. Bayam mengandungi vitamin C, zat besi, kalsium dan serat.

Kandungan asid folik dan serat yang tinggi baik untuk mengekalkan kesihatan. Bayam kaya dengan zat mineral seperti kalsium, zat besi dan kalium serta beta karotena.


Bayam


Bayam pula dipercayai memberi khasiat kepada kanak-kanak, ibu yang menyusu dan mereka yang menghidap demam panas, kurang darah, mengalami pendarahan dan masalah ginjal.

Bayam tua yang direbus dan diminum dapat membantu memperbaiki kualiti penglihatan dan memperkuatkan fungsi hati.



Sayur berbatang seperti asparagus dan saderi mempunyai khasiat tersendiri. Misalnya, asparagus ialah sumber sayuran yang rendah kalori dan natrium.

Ia juga sumber vitamin B6, kalsium, magnesium dan zink yang baik selain mengandungi serat, protein, vitamin A, vitamin C, vitamin E, asid folik, besi, fosforus dan kalium.

Selain itu, asparagus adalah sumber mineral yang baik untuk membantu meningkatkan keupayaan insulin yang membawa glukosa dari sel darah.

Biasanya, asparagus dijadikan pembuka selera atau ulam. Ia boleh dihidang melalui masakan Asia yang digoreng bersama makanan laut, dipanggang atau dimakan mentah dan dicampur ke dalam hidangan salad.


Bebawang seperti bawang, bawang merah dan bawang putih juga mengandungi khasiat tersendiri dalam menjaga kesihatan tubuh badan.

Misalnya, bawang merah mengandungi vitamin C, potassium, serat, asid folik, kalsium, zat besi dan protein yang tinggi.

Penyelidikan mengenai khasiat bawang merah kepada kesihatan mendapati, ia mengandungi dua sebatian utama iaitu sulfur seperti allyl propyl disulfide dan flavonoid. Flavonoid dipercayai dapat membantu mengurangkan risiko kanser, penyakit jantung dan kencing manis.

Memakan bawang merah setiap hari juga boleh membantu pertumbuhan tisu tulang dan mengurangkan risiko osteoporosis selain kandungan sulfur yang boleh membantu kulit kelihatan muda.

Perbezaan Warna Sayuran

Satu cara mudah mengklasifikasikan sayuran berwarna adalah melalui warnanya.

Warna pada sayur-sayuran mempunyai manfaat tertentu untuk kesihatan kerana bahan kimia di dalamnya yang menghasilkan warna terbabit.



Sayuran putih mengandungi sulforaphane iaitu sebatian organosulfur yang boleh menjadi antikanser yang didapati secara semula jadi daripada sumberbrokoli, kubis Brussel atau kubis.


Bagi kubis merah dan biru serta sayuran berwarna ungu seperti terung, ia mengandungi sumber antosianin yang membantu melindungi tubuh manusia daripada kanser, memperbaiki fungsi minda dan membantu menjaga jantung yang sihat.


Jangan takut untuk menikmati sayur-sayuran berwarna merah seperti tomato kerana ia mengandungi sumber lycopene yang boleh membantu mengurangkan risiko mendapat kanser paru-paru, prostat dan perut.

Petua Untuk Mengekalkan Zat Sayur

• Elakkan membasuh sayur atau memotong sayur sebelum anda benar-benar ingin memasaknya.

• Basuh sayur dengan cepat lebih baik daripada merendamnya.

• Gunakan pisau yang tajam ketika memotong sayur. Pemakaian pisau yang kurang tajam menyebabkan sayur lebam dan mengurangkan kandungan zat secara tidak langsung.

• Potong bahagian yang diperlukan dan mengandungi banyak zat sahaja. Misalnya ada sayur yang mempunyai zat paling banyak pada daunnya.

• Elakkan membuang kulit sayur seperti kentang sebelum direbus. Merebus kentang bersama kulitnya sekali dapat mengurangkan zat yang terkandung dalam sayur tersebut hilang. Walau bagaimanapun cara ini tidak sesuai untuk masakan yang hanya menggunakan kentang sebagai bahan tambahan.

• Masa cara stim lebih baik jika dibandingkan dengan merebus sayur. Cara stim dapat memastikan zat yang ada dalam sayuran tersebut tidak hilang dengan banyak. Jika sayur atau cara masakan anda hanya dengan langkah merebus, pastikan anda tidak merebus sayur itu hingga lembik.

• Elakkan memotong sayur kepada potongan kecil. Jika boleh, jangan potong sayur tersebut.


SAYUR yang rangup, sedap, segar serta penuh zat sememangnya penting kerana hidangan lebih enak untuk dinikmati seluruh ahli keluarga termasuk anak kecil.

Selain khasiat yang tinggi, sayur juga sebahagian menu yang penting kerana jika tiada masakan berasaskan sayur di atas meja, ia umpama menghilangkan seri resipi yang lain.

Namun, kadangkala kita berdepan dengan masalah sayur yang layu sebelum dimasak atau terlalu pahit hingga sukar menjamahnya. Oleh itu, berikut panduan untuk menyediakan sayur yang enak dan segar:


Menghilangkan pahit peria

Ambil peria, buang bijinya serta dipotong ikut keinginan sebelum dicuci dengan bersih. Potongan peria itu kemudian direndam dalam larutan yang dicampur dengan satu senduk garam dan dibiarkan antara 15 minit hingga 25 minit bagi mengeluarkan air peria yang pahit.

Selepas itu, cuci peria hingga bersih bagi membuang garam pada sayur itu.



Kemudian, rebus peria selama lima minit sebelum ia sedia dimasak mengikut selera masing-masing. Hasilnya peria tidak terlalu pahit dan boleh dimakan semua.

Kekalkan Kesegaran Sayur

Ada beberapa cara yang boleh dibuat untuk mengekalkan kesegaran sayur.

Antaranya, ambil sayur yang disimpan dalam peti ais dan direndam dalam air bercampur sedikit cuka selama beberapa minit sebelum dimasak. Sayur juga akan lebih rangup menggunakan cara ini jika ia tidak dimasak lama. Kotoran pada sayur juga mudah disingkirkan.

Selain itu, sayur dibasuh terlebih dulu dan kemudian boleh dimasukkan dalam beg plastik, dibungkus dengan surat khabar atau disimpan dalam bekas plastik sebelum dimasukkan dalam peti ais supaya ia kekal segar. Cara lain yang boleh digunakan ialah merendam sayur sepenuhnya dalam air sebelum dimasak.

Kekalkan Kesegaran Taugeh

Sayur taugeh boleh dikekalkan kesegarannya dengan merendamnya dalam air dan lebih baik sekiranya ia dititiskan sedikit dengan perahan limau.


Kekalkan Kesegaran Bendi


Rebus kacang bendi tanpa memotongnya dalam tempoh yang singkat dalam air yang dicampur dengan satu sudu minyak masak. Cara ini bukan saja memastikan bendi tidak berlendir, kesegarannya juga lebih lama.

Mengenalpasti Sayur yang Segar


Jika ingin membeli sayur, perhatian perlu diberikan kepada beberapa ciri yang ada pada sayur itu. Misalnya jika memilih bendi, pastikan bahagian hujungnya tidak keras dan pilih tomato yang tidak terlalu berwarna oren kerana bagi memastikan jangka hayatnya lebih panjang ketika disimpan di rumah.

Sayur seperti kubis juga perlu dipilih daripada jenis yang berongga besar dan ringan.

Mencantikkan rupa sayur


Rebus sayur dalam air yang dicampurkan sedikit minyak masak sebelum dihidangkan. Minyak tadi akan menyebabkan sayur nampak cantik, berkilat dan menyelerakan.

 Petikan dari :
http://mysweetyzara.blogspot.com

JAWATAN PEMIMPIN USAH DIMINTA

       Semasa membaca akhbar Berita Harian, tiba-tiba saya rasa terbekenan dengan artikal ni.  Saja nak share dengan kawan-kawan atau sekurang-kurangnya sebagai peringatan kepada saya bahawa tugas pemimpin bukan mudah.  
        Walaupun tugas saya dalam jabatan cuma peringkat pertengahan aje tapi itupun saya rasa ianya berat untuk saya pikul amanahnya.  Kalau jadi big bos (peringkat atasan) rasanya saya tak mampu.  Saya selalu cakap pada anggota yang berada di bawah saya kalaulah boleh biar saya jadi seperti mereka bila habis bertugas, segala masalah kerja kita tinggalkan di pejabat, tapi saya tugasan saya ini saya bawa balik ke rumah. 
        Pergi kerja matahari baru nak terbit dan balik matahari dah nak tenggelam.  Kalau Aku Kaya (macam nak nyanyi lak) dah lama saya berhenti tapi apakan daya banyak lagi yang tak tercapai.  Kerja jugalah tapi dalam hati sentiasa berdoa supaya aku kena sentiasa amanah dan jujur dalam tugas takut jika kita tergoda dengan hasutan syaitan hasil yang kita dapat itu kita beri anak-anak makan.... entahle.   jadi bacale ya sebagai peringatan

Berita Harian:  Sabtu, 16 Ogos 2014 @ 10:16 PM 
Oleh Zamanuddin Jusoh



          Antara tuntutan utama dalam agama adalah menunaikan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita dan pengabaian terhadap tuntutan itu akan memberi implikasi besar. Penyebab utama kepada kerosakan umat akibat pengabaian manusia terhadap amanah khususnya amanah kepemimpinan.
 
          Kepemimpinan amanah yang amat penting kerana ia berkait dengan urusan sesama manusia. Di sinilah bermulanya proses ujian terhadap mereka yang diamanahkan sebagai pemimpin sama ada terus berada pada landasan agama atau sebaliknya. 

          Amanah ini menitikberatkan urusan perintah dan larangan Allah SWT serta sejauh manakah komitmen seorang pemimpin terhadap amanah itu. Kita akan dapat menilai sesebuah kepemimpinan melalui timbangan neraca Allah SWT bagi memastikan keberkatan sesebuah kepimpinan. 

Jujur atau ikut nafsu
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Acuan Allah SWT dan siapakah yang lebih baik daripada acuan Allah? Dan kepada-Nyalah kami menyembah." (Surah al-Baqarah, ayat 138) Oleh itu, apabila kepemimpinan jauh daripada hidayah Allah SWT, maka akan terlihat kepincangan dan terserlah wajah sebenar seseorang sama ada mereka benar-benar jujur atau sekadar memenuhi tuntutan nafsu semata-mata. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesiapa yang menyimpang daripada jalan-Ku, dia akan menghadapi kehidupan yang pincang dan sempit. Maka Kami akan mengumpulkan mereka pada hari kiamat dalam keadaan buta. Dia berkata: Ya Tuhanku, mengapa Engkau kumpulkan kami dalam keadaan buta, padahal aku dulu (di dunia) dapat melihat. Allah berfirman: Demikianlah kamu dilupakan sebagaimana kamu telah melupakan ayat-ayat Kami dahulu." (Surah Tahaa, ayat 124-126) 

       Ulama berbeza pendapat mengenai maksud buta dalam ayat di atas, apakah buta hati atau buta mata? Pendapat terbanyak adalah buta penglihatan sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud : "Barang siapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk. Dan barang siapa yang Dia sesatkan, maka sekali-kali dia tidak akan mendapat penolong bagi mereka selain dari Dia. Kami akan mengumpulkan mereka pada hari kiamat (diseret) atas muka mereka dalam keadaan buta, bisu dan tuli." (Surah al-lsraa, ayat 97) 

         Kepemimpinan adalah suatu amanah yang besar serta menjadi kewajipan untuk melaksanakannya. Baginda SAW mengingatkan sahabat untuk menjauhi sesuatu jawatan pada tampuk pemerintahan kerana bebanan besar yang akan ditanggungnya pada hari kiamat. 

         Baginda SAW pernah menasihati Abu Zarr yang memohon jawatan: "Wahai Abu zarr, engkau tidak mampu sedangkan jawatan adalah amanah. Ia adalah penghinaan dan penyesalan di hari kiamat melainkan mereka yang menguruskannya dengan cara yang betul." (Riwayat Muslim)

Simbol cinta dunia
         Ini menjelaskan beratnya tanggungjawab sesuatu jawatan yang disandang sedangkan manusia beranggapan ia satu penghormatan dan peluang keemasan. Realitinya, percaturan untuk menjadi pemimpin adalah simbol cinta dunia yang keterlaluan. 

        Masing-masing ghairah dan bercita-cita kepada habuan serta imbuhan yang akan diperoleh. Pihak yang sedia berada di persada kepemimpinan pula sedaya upaya mempertahankan kedudukan kerana terlalu sayangkan keistimewaan dikecapi tanpa memikirkan risiko berhadapan Allah SWT di hari kemudian. 

         Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya kalian nanti akan sangat bercita-cita menjadi pemimpin, padahal kelak di hari kiamat ia akan menjadi penyesalan." (Riwayat Bukhari)
Sejarah membuktikan Baginda SAW tidak pernah melayan permintaan sahabat terhadap sesuatu jawatan. Justeru, sebaik-baik pemimpin adalah mereka yang diminta untuk menguruskan urusan masyarakat bukannya mereka yang menawarkan dirinya untuk menjadi pemimpin. 

          Baginda juga pernah menasihati dua sahabat melalui satu riwayat seorang sahabat berkata: "Aku dan dua orang lelaki dari kaumku telah masuk kepada Nabi SAW. Salah seorang daripada dua lelaki berkenaan berkata: Lantiklah kami menjadi ketua wahai Rasulullah. Seorang lagi juga berkata demikian. Lalu baginda bersabda: Sesungguhnya kami tidak melantik dalam urusan ini sesiapa yang memintanya atau bercita-cita untuk mendapatkannya." (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Larangan minta jawatan

       Jelas bahawa mereka yang meminta jawatan tidak akan mendapat pertolongan manusia dan bantuan daripada Allah SWT kecuali mereka yang diminta untuk memimpin. Jaminan ini telah digambarkan oleh Baginda SAW.

        Baginda SAW menasihati sahabatnya, Abd Rahman Samurah: "Wahai Abd Rahman, jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan permintaan maka engkau akan ditinggalkan dan tidak akan dibantu dan jika engkau diberikannya tanpa permintaan maka engkau akan dibantu dan mendapat pertolongan."

        Allah SWT memberi tanggungjawab yang berat kepada pemimpin sebagai satu amanah bagi membawa golongan yang dipimpin mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Semakin tinggi jawatan kepemimpinan yang disandang, semakin banyaklah tanggungjawab mesti dilunaskan.

         Hanya keimanan menjadi penyelamat dan mereka yang beriman saja dijanjikan sebagai pewaris kepada kekuasaan di atas muka bumi. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Allah SWT menjanjikan kepada orang yang beriman dan beramal salih di kalangan kamu, bahawa Dia akan menjadikan mereka sebagai khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, seperti mana Dia telah menjadikan orang sebelum mereka selaku khalifah yang berkuasa." (Surah an-Nur, ayat 55)

Syarat raih keberkatan
        Inilah syarat utama yang diletakkan oleh Allah SWT untuk memegang tampuk pemerintahan bagi meraih keberkatan daripada Allah SWT. Kefahaman terhadap kehendak agama dan rakyat adalah antara syarat kepemimpinan yang baik sekali gus melengkapkan mereka sebagai pemimpin sebenar. 

        Mereka mestilah berusaha menunaikan tanggungjawab manakala rakyat pula mesti taat dan bekerjasama menjayakan sebarang usaha bagi meningkatkan kesejahteraan dalam kehidupan serta kecemerlangan di masa hadapan. 

        Imam al-Ghazali juga menegaskan: "Kekuasaan dan agama adalah anak kembar. Agama adalah dasar dan kekuasaan adalah penjaga." (Ihya Ulumuddin)
Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa melantik seseorang sebagai pemimpin atau pegawai di dalam sebuah kumpulan sedangkan masih ada di kalangan mereka orang yang lebih layak, orang yang lebih disukai Allah SWT daripadanya maka sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah SWT dan Rasul-Nya dan mengkhianati orang yang beriman."


Tuesday, 19 August 2014

PADANG KOTA LAMA, PENANG





Selepas melawat Kota Kuala Kedah (22.12.2013)kami meruskan perjalanan pulang ke Perak.  On the way ke Perak kami sempat singgah ke Pulau Pinang.  Adik & Ayong serta anak-anak buah yang lain teringin nak naik feri ke Pulau Pinang.  Tak kisahle tengah bercuti baik 'bercuti' betul-betul.

Kebetulan cuaca hari tu memang panas terik jadi kami rasa kurang selesa.  Tambahan masa nak naik feri lebih 1 jam kami menunggu.  Nak patah balik bukannya mudah so tunggu
ajele... At last dapat juga anak-anak naik feri.

Kat Penang kami tak ke mana sebab masa tak mengizinkan.  Kami cuma sempat ke Padang Kota Lama dan Bukit Bendera aje. Lihatlah apa yang sempat kami ambil gambar....









































MELAWAT KOTA KUALA KEDAH

                            Pada 22.12.2013(Ahad) sebelum kami bertolak ke Pulau Pinang dari Kuala Kedah kami singgah sebentar kat Kota Kuala Kedah.  Terletak berhadapan dengan Jeti Kuala Kedah..   Tempatnya agaknya terpencil tapi menarik.  Masa kami melawat ke sana tak ramai yang datang, tapi bagi kami ini lebih baik.